Asalamualaikum W.B.T. , Salam Perpaduan, Salam Ramadhan, Salam Aidilfitri dan Salam Satu Malaysia.

Blog ini boleh dikatakan sudah lama tidak dikemaskini. Seribu kemaafan. Kita lupakan benda yang sudah berlalu. Seeloknya kita perkatakan apa yang sedang dan akan berlaku. Bukan melupakan sejarah tapi kita seharusnya bersedia untuk hari yang mendatang. Aidilifitri akan menjelma tidak lama lagi. Bahang Aidilfitri semakin terasa kehangatannya. Pelbagai ragam boleh kita lihat. Sempat saya menjenguk Bandar Labuan yang riuh dek persiapan warga Labuan dalam mempersiapkan menyambut Aidilfitri ini.

Dari satu sudut, saya melihat hujung Ramadhan ini peluang terakhir untuk setiap umat melipat gandakan usaha untuk membuat amal. Banyak sumbangan yang telah diberikan kepada orang-orang yang kurang berkemampuan demi untuk menyambut Aidilfitri ini. Malahan peluang bulan Ramadhan ini saya fikir wajar untuk kita gunakan dalam merapatkan hubungan antara pemimpin dan rakyat. Turunlah ke masjid dan surau berdekatan untuk beribadat bersama warga pengundi setempat. Kita tidak seharusnya hanya turun andai terdapat program. Kita turunlah sendiri melihat apa kekurangan sesuatu kawasan. Tapi Alhamdulillah. Kita di Labuan ini seharusnya bersyukur dengan melihat pemimpin kita turun ke kawasan tidak kira masa. Melihat ahli parlimen kita yang sering turun ke kawasan membuat sejuk hati kita walaupun cuaca pulau yang panas. Tidak cukup dengan kehadiran ahli parlimen kita, Ketua Pemuda Bahagian sendiri sanggup untuk bersama-sama meraikan Ramadhan bersama warga Labuan ini. Beginilah contoh yang kita perlukan.

Menjelang Syawal ini, saya semakin merasakan kehangatan kegembiraannya. Walaupun tidaklah sama seperti kehangatan di zaman kanak-kanak dahulu, tapi bulan Syawal ini sepatutnya kita raikan dengan gembira. Bukan dengan tangisan atau kesedihan. Syawal merupakan hari kemenangan kita dalam peperangan di bulan Ramadhan. Kita wajar untuk menyambut dengan gembira.

Firman Allah (maksudnya):

“Bulan Ramadan yang padanya diturunkan Al-Quran, menjadi petunjuk bagi sekalian manusia, dan menjadi keterangan-keterangan yang menjelaskan petunjuk dan (menjelaskan) perbezaan antara yang benar dengan yang salah. Oleh itu, sesiapa dari antara kamu yang menyaksikan anak bulan Ramadan, maka hendaklah dia berpuasa; dan sesiapa yang sakit atau dalam musafir maka (maka diganti) pada hari-hari yang lain. (dengan ketetapan yang demikian itu) Allah menghendaki kamu beroleh kemudahan, dan Dia tidak menghendaki kamu menanggung kesukaran. dan juga supaya kamu cukupkan bilangan puasa (sebulan Ramadan), dan supaya kamu membesarkan Allah kerana mendapat petunjukNya, dan supaya kamu bersyukur”. (Surah al-Baqarah: 185).


Pada Syawal yang akan tiba ini, saya menghulurkan sepuluh jari ingin memohon maaf zahir dan batin kepada semua pengunjung dan semua umat Islam. Semoga kita akan merindui Ramadhan yang bakal meninggalkan kita dan menjadikan Syawal satu lambang kemenangan di bulan Ramadhan.


Sekian.