Perpaduan di Malaysia merupakan satu kebanggaan negara. Malaysia merupakan negara berbilang kaum yang boleh hidup bersama di bawah satu bumbung negara yang sama walaupun berbeza kaum, budaya dan agama. Akan tetapi walaupun mempunyai perbezaan kaum, budaya dan agama, hak kaum melayu dan bumiputera tetap mempunyai tanpa menyingkirkan hak kaum lain. Malah agama Islam merupakan agama rasmi Malaysia. Perkara ini wajar menjadi satu garis panduan agar hidup kita saling hormat menghormati di bawah bumbung Malaysia. Gagasan yang diketengahkan oleh Perdana Menteri kita yang keenam, ‘Satu Malaysia’ merupakan gagasan yang mendukung ke arah perpaduan. Demi menjaga perpaduan ini agar sentiasa terjaga dan kekal, kita sewajarnya turut sama menyokong gagasan ini tanpa melupakan hak kita sebagai melayu dan bumiputera. Perkara yang wajar kita pertimbangkan ialah kriteria ‘Satu Malaysia’ yang ingin menyatupadukan kaum tanpa melupakan hak bumiputera. Sebelum memikirkan kekuatan gagasan ini, kita di dalam UMNO ini sendiri wajar memikirkan kekuatan perpaduan sesame melayu itu sendiri yang kita lihat semakin berpecah hari demi hari. Bersyukur kita kerana perpaduan dalam kalangan melayu di Labuan ini masih dalam keadaan yang baik.

Memperkatakan tentang perpaduan dalam parti ini, mungkin ada yang merasakan berbelah bahaginya sokongan dalam parti pada peringkat bahagian Labuan ini. Mungkin apa yang saya perkatakan ini ada salahnya tapi mungkin semua ini ada betulnya juga. Sokongan kepada pimpinan lama dan sokongan kepada pimpinan baru. Apa yang menggusarkan, terpecahnya sokongan ini membuatkan golongan pembangkang yang suka mencari lompang dan kelemahan kekuatan akan memudahkan mereka untuk memasukkan ‘jarum’ perpecahan. Kita seharusnya memberikan sokongan kepada pimpinan dan pemimpin yang sedia ada tanpa melupakan pimpinan dan pemimpin yang lama. Kita seharusnya bersatupadu tanpa menunjukkan ketaksuban ke atas seorang pemimpin. Kita seharusnya bersatu atas nama UMNO demi menjaga nusa, bangsa dan agama. Tidak mustahil andai perkara ini kita ambil remeh, golongan pembangkang akan mengambil peluang untuk memecahbelahkan kita. Masalah ini merupakan duri dalam daging yang wajar kita selesaikan. Andai selesai sahaja barulah kekuatan kita di dalam parti akan lebih kuat.

Memperkatakan soal perpaduan, kita boleh tersenyum melihat warga tua kita tanpa mengira kaum boleh duduk bergurau senda bersama. Golongan inilah yang berjuang di tanah air Labuan kita ini. Golongan inilah yang memperjuangkan dan mempertahankan perpaduan. Golongan warga tua inilah yang mengerti bahawa kemerdekaan itu bukan senang diperoleh. Mereka menghargai tiap detik kemerdekaan dengan mengeratkan perpaduan. Bukti yang boleh kita lihat apabila kita melihat warga emas yang sering menghabiskan masa lapang di kawasan pasar ikan. Berbilang kaum duduk bersama bergurau senda. Akan tetapi situasi ini semakin kurang kita lihat. Mungkin kerana ada antara mereka yang sudah meninggal dunia atau sudah kekurangan kudrat untuk menghabiskan masa bersama. Kita tidak mahu perpaduan erat ini turut sama masuk ke dalam tanah ‘pergi’ bersama mereka. Gelisah kita melihat golongan muda sekarang yang hanya bersatu dengan kaum mereka sendiri dan hidup bagai mengabaikan kekuatan perpaduan. Kita tidak mahu perpaduan yang Berjaya dicapai oleh warga emas itu menjadi sejarah semata. Kita sewajarnya mempertahankannya. Kita harus menarik golongan muda ini agar lebih bersatu padu.

Di hujung tinta ini, kita seharusnya bersama memikirkan jalan untuk menguatkan perpaduan sesama melayu dan sekaligus memikirkan jalan untuk mengukuhkan perpaduan dengan kaum lain. Ini semua untuk negara kita sendiri dan sekaligus menyokong gagasan ‘Satu Malaysia’. Kita harus ingat, kebaikan yang kita warisi daripada datuk nenek kita itu merupakan pinjaman kita daripada anak-anak. Fikir-fikirkan.


-Ucapan terima kasih dan setinggi pernghargaan buat PUTERI UMNO kerana sentiasa menyokong kewujudan blog ini-


Wasalam.